Bersatu tak boleh bergantung undi protes untuk jadi kerajaan, kata Wan Saiful

Bersatu tak boleh bergantung undi protes untuk jadi kerajaan, kata Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan berkata, era bergantung undi protes telah tamat, Bersatu perlu tawaran jelas kepada rakyat untuk jadi pemerintah.

Wan Saiful Wan Jan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan ahli MPT Bersatu pada pemilihan parti November depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu berkata, parti itu perlu mempunyai naratif dan tawaran jelas untuk rakyat tanpa bergantung kepada undi protes untuk menjadi pemerintah pada masa akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu mempunyai potensi tinggi mengambil alih pemerintahan bukan hanya Putrajaya tetapi beberapa negeri.

“Bergerak ke hadapan, Bersatu mesti pastikan kita ada naratif dan tawaran jelas untuk rakyat. Kita tidak boleh terus bergantung kepada undi protes.

“Era itu sudah tamat, sebaliknya kita mesti memposisikan Bersatu sebagai parti mempunyai solusi diyakini rakyat, berwawasan dan berprinsip,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yang akan mempertahankan kerusi MPT pada pemilihan parti November depan.

Wan Saiful juga menang tanpa bertanding jawatan ketua Bersatu Bangi.

Sebelum ini, ramai pemerhati politik berpendapat, Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu Berjaya mencatat keputusan baik di kerusi majoriti Melayu pada PRU15 dan PRN susulan peralihan sokongan ahli Umno kepada komponen itu.

Kajian firma kaji selidik Ilham Centre mendapati, sekitar 27% hingga 58% pengundi Umno pada PRU15 berlangsung November 2022 mahu mengundi PN pada PRN Ogos lepas.

Tinjauan mendapati, ramai ahli Umno pada peringkat awal sukar bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP menerusi kerajaan perpaduan.

Pada PRN itu, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, manakala gabungan PN mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu selain menambah beberapa kerusi di Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yakin dokumen ideologi Bersatu yang berteraskan lima prinsip idealisme, iaitu inklusif, sederhana, demokratik, integriti dan prihatin, mampu menjadi wadah politik kanan pertengahan untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini memerlukan pasukan mantap untuk melaksanakan usaha tersusun bawah kepimpinan dan bimbingan Muhyiddin Yassin (presiden) serta Hamzah Zainuddin (timbalan presiden).

“Saya mohon ahli-ahli Bersatu memberi ruang untuk saya juga meneruskan sumbangan dalam memperkasa parti,” katanya.

“Saya yakin ahli Bersatu akan memilih dengan bijak supaya saf kepimpinan boleh dilihat sebagai barisan meyakinkan rakyat bahawa kita boleh memimpin negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.