Anggota polis ditahan berhubung kes tentera ditembak mati

Anggota polis ditahan berhubung kes tentera ditembak mati

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, anggota polis itu antara yang ditahan bagi membantu siasatan kes berlaku di Kapit pada 23 Sept.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata memaklumkan kepadanya seorang anggota polis terlibat dalam kes seorang tentera dipercayai ditembak mati oleh pemburu haram di Kapit. (Gambar Bernama)
BANDAR BAHARU:
Seorang anggota polis antara yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang anggota tentera di Kapit, Sarawak pada 23 Sept lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata ketika kunjungan beliau ke Sarawak, baru-baru ini.

“Dalam lawatan saya ke Sarawak, pesuruhjaya polis Sarawak memberikan taklimat mengenai siasatan awal yang dibuat untuk menentukan punca insiden yang berlaku di kawasan latihan tentera tersebut.

“Setelah laporan dibuat, pihak polis segera membuat siasatan untuk mengesan individu terlibat. Dalam taklimat itu, saya dimaklumkan tentang penglibatan seorang anggota polis.

“Kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes ini. Setakat itu sahaja saya boleh sahkan berdasarkan kepada maklumat daripada pesuruhjaya polis Sarawak,” katanya kepada pemberita pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di SK Permatang Pasir hari ini.

Sebelum ini, polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes anggota tentera maut akibat terkena tembakan ketika menjalani latihan di kawasan hutan di Song.

Mancha berkata, kedua-dua lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada hari sama dan polis merampas selaras senapang patah serta beberapa peluru penabur daripada mereka.

“Siasatan mendapati mereka menjalankan aktiviti memburu secara haram. Seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar dalam kejadian 2.45 pagi itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.