
Timbalan Presidennya, Ahmad Faizal Azumu memuji jentera dihimpunkan ketua Bersatu Selangor itu mantap.
“Saya dapati Azmin telah sediakan jentera pilihan raya begitu mantap, antara yang terbaik. Malangnya, keputusan tidak menyebelahi pihak kami,” katanya selepas pengumuman senarai calon untuk pemilihan Bersatu bulan depan.
Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja berkata, seluruh kepimpinan parti, termasuk Presiden Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan Azmin akan bekerja lebih keras pada pilihan raya akan datang susulan kekalahan besar PN Sabtu lalu.
Semalam, FMT memetik dua pemimpin pembangkang tidak dinamakan mendakwa Azmin tidak menjalankan tugasnya dengan baik dalam menggembleng jentera, menyebabkan petugas pilihan raya dari negeri lain tidak hadir dan “bergantung kepada orangnya sendiri”.
Satu lagi sumber mendakwa keputusan PRN mungkin berbeza jika individu lain dipilih mengetuai kempen PN untuk PRK Mahkota.
Sabtu lalu, PN kalah teruk selepas calonnya, Haizan Jaafar dari Bersatu hanya meraih 7,347 undi berbanding calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah yang mendapat 27,995 undi.
Majoriti 20,648 undi yang diterima BN adalah empat kali ganda margin 5,166 undi yang diraihnya dalam PRN 2022.
Semalam, Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir menyifatkan dakwaan Azmin menyumbang kepada kekalahan PN pada PRK Mahkota sebagai pandangan peribadi orang tertentu.