
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kekecohan membabitkan segelintir warga Palestin di Wisma Transit, Kuala Lumpur dipercayai berlaku akibat tidak puas hati pergerakan mereka dihadkan selepas berada terlalu lama di sana.
“Tujuan kita bawa mereka ke sini pada asalnya untuk mendapatkan rawatan. Maka, pas yang dikeluarkan itu bersesuaian dengan tujuan tersebut. Tak logik kalau kita letak mereka bersepah merata-rata. Letak di situ memudahkan kita jaga, kawal termasuk aspek keselamatan.
“Jadi, mungkin mereka tak tahan berada lama di satu tempat dan berhasrat dibenarkan pergerakan diperluas,” katanya selepas sesi townhall pelajar bersama menteri dalam negeri di Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
Beliau berkata, kaedah sama pernah dilaksanakan terhadap pelarian Syria dibawa ke Malaysia beberapa tahun lalu, dengan membenarkan mereka tinggal di sini sehingga tiga tahun.
Di tengah-tengah serangan Israel ke atas Gaza, Malaysia membawa 40 rakyat Palestin cedera untuk rawatan di Malaysia bersama 80 saudara mereka dari Kaherah pada 16 Ogos lepas.
Pesakit itu sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, manakala saudara mereka yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit disediakan Kementerian Pertahanan.
Saifuddin berkata, tidak masuk akal mendesak kerajaan menghantar pulang semua rakyat Palestin sedang dirawat di sini ketika negara mereka berdepan peperangan dan hanya disebabkan kekecohan membabitkan segelintir individu.
Beliau meminta rakyat Malaysia tidak membuat kesimpulan secara umum susulan insiden itu dan tidak menyalahkan semua warga Palestin.
“Yang penting kita cari penyelesaian dari segi undang-undang untuk ‘menyesuaikan’ keberadaan mereka di sini.”
Terdahulu, tular video memaparkan beberapa warga Palestin membaling selipar ke arah seorang pegawai penguat kuasa dan merosakkan harta benda premis selepas tidak diizinkan menginap di luar Wisma Transit, Kuala Lumpur.
Duta Palestin, Walid Abu Ali hari ini mengecam kejadian itu dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia sambil menjelaskan ia tidak mencerminkan tingkah laku rakyat Palestin secara umum.