Isu halal berpotensi pengaruhi kerjasama BN-PH di Sabah, kata penganalisis

Isu halal berpotensi pengaruhi kerjasama BN-PH di Sabah, kata penganalisis

Penganalisis berkata sentimen itu akan menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap parti dan pemimpin yang memainkan isu berkenaan.

bn ph
Penganalisis berkata konflik Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok berkaitan sijil halal boleh mempengaruhi kerjasama BN-PH di Sabah.
PETALING JAYA:
Pertikaian isu pensijilan halal antara Umno dan DAP berpotensi melarat ke Sabah sekali gus mempengaruhi kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) pada PRN tahun depan, kata penganalisis politik.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, sentimen itu akan menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap parti dan pemimpin yang memainkan isu berkenaan.

Bilcher Bala
Bilcher Bala.

“Kelihatan PKR menjauhi isu ini sebagai strategi yang baik untuk menaikkan populariti di Sabah. Tentu sekali kerjasama antara BN dan DAP sentiasa rapuh sama ada dalam konteks pilihan raya atau politik semasa,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir membidas AJK DAP negeri Chan Foong Hin kerana masih memperbesarkan isu pensijilan halal membabitkan Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok dengan mengaitkan kerjasama bersama PH pada PRN.

Beliau menyarankan Chan menasihati pemimpin DAP termasuk Kok supaya tidak menyentuh soal agama tiada kaitan dengannya, sebelum menasihatkan Umno Sabah mengenai ‘erti hormat’.

Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu, Umno perlu menangani pemimpin Pemudanya menjelang PRN akan datang dengan merujuk gelaran ‘nyonya tua’ oleh Akmal terhadap naib pengerusi DAP dalam isu pensijilan halal.

Katanya, sikap ekstremisme dan serangan peribadi tidak akan diterima di Sabah, selain menegaskan sebarang kerjasama harus berdasarkan rasa hormat bersama.

Sementara itu, Bilcher berkata BN tidak mampu bergerak sendiri pada PRN Sabah, sebaliknya memerlukan undi PH untuk menang seperti di PRK Mahkota.

Katanya, keputusan di Mahkota harus menjadi panduan penting kepada BN di Sabah supaya tidak memilih bertanding solo, tambahan pula populariti gabungan tersebut terjejas kerana kebangkitan sentimen parti lokal di Negeri Bawah Bayu itu.

Mohd Azmir Mohd Nizah dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berpandangan, jika Umno dan DAP bijak menguruskan konflik itu ia tidak akan menjejaskan kerjasama mereka.

Mohd Azmir Mohd Nizah.

Bagaimanapun, katanya tidak mustahil Umno Sabah boleh melihat pilihan kerjasama dengan parti lain.

“Setiap pihak punya ego dan matlamat perjuangan. Maka toleransi amat penting, sama seperti fabrik sosial masyarakat Sabah sendiri. Jika titik pertemuan tidak boleh lagi dikompromi, saya fikir Umno Sabah akan lihat pilihan kerjasama lain,” katanya.

Pada 17 Sept lalu, Umno menerusi Presiden Zahid Hamidi mengumumkan BN secara dasar bersetuju kerjasama dengan PH pada PRN Sabah dijangka tahun depan.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.