Rakyat Malaysia di Iraq, Iran diminta segera daftar e-Konsular

Rakyat Malaysia di Iraq, Iran diminta segera daftar e-Konsular

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia mengekalkan komunikasi rapat dengan kedutaan bagi mendapatkan maklumat terkini dan panduan diperlukan.

wisma putra
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia bersedia menghadapi kemungkinan gangguan jadual penerbangan di Iran dan Iraq serta membuat penyesuaian terhadap pelan perjalanan.
PUTRAJAYA:
Semua rakyat Malaysia yang berada atau melancong ke Iraq dan Iran disarankan segera mendaftar melalui e-Konsular susulan peningkatan ketegangan di rantau itu, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.

“Mereka yang belum berbuat demikian sangat digalakkan untuk mendaftar dengan segera.

“Rakyat Malaysia di rantau itu juga dinasihatkan bersedia menghadapi kemungkinan gangguan jadual penerbangan dan disarankan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap pelan perjalanan masing-masing,” menurut nasihat perjalanan dikeluarkan.

Rakyat Malaysia juga dinasihat mengekalkan komunikasi rapat dengan kedutaan bagi mendapatkan sebarang maklumat terkini dan panduan diperlukan.

“Kedutaan Malaysia di kedua-dua negara berkenaan giat berhubung dengan rakyat Malaysia yang mendaftar bagi memastikan keselamatan mereka dan memberikan maklumat terkini.”

Kementerian itu yang juga dikenali Wisma Putra akan terus memantau keadaan dan menyediakan maklumat terkini jika perlu demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia di Iraq boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Mezzanine Floor, Babylon Rotana Hotel, Al Abassi Street, Al Jadria, Baghdad, Iraq atau telefon +964 786 497 0086 dan +964 786 497 0087 atau e-mel [email protected].

Bagi yang berada di Iran, mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb atau melalui panggilan telefon +98 21 88072444 / +98 21 88078606 / +98 9121130144 serta e-mel [email protected] / [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.