Raja-Raja Melayu mesti kerjasama sebagai satu pasukan, kata Sultan Selangor

Raja-Raja Melayu mesti kerjasama sebagai satu pasukan, kata Sultan Selangor

Sultan Selangor turut ingatkan semua kerabat diraja supaya pamer adab budaya yang baik di khalayak umum atau di media sosial.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tunku Mahkota Ismail membincangkan pelbagai isu melibatkan institusi diraja serta bola sepak tanah air dalam pertemuan pada Selasa. (Gambar Facebook Royal Selangor)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Pemangku Sultan Johor di Istana Selangor di Kuala Lumpur pada Selasa lepas.

Catatan di laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, pada pertemuan lebih sejam itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tunku Mahkota Ismail membincangkan pelbagai isu melibatkan institusi diraja serta arena bola sepak tanah air.

“Pada pertemuan ini, Sultan Selangor menegaskan bahawa perlunya ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu,” menurut catatan itu.

“Titah baginda, Raja-Raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu-membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata. Ini sangat penting kerana peranan Raja-Raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu agama malah membabitkan isu semasa.”

Sultan Selangor mengingatkan semua kerabat diraja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum atau di media sosial dengan menonjolkan pekerti mulia agar dihormati serta disayangi rakyat.

Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama Raja Melayu dielak daripada dibincangkan di media sosial.

Sultan Sharafuddin juga bertitah, bola sepak ialah sukan rakyat yang sekian lama menyatupadukan masyarakat dan harus dipelihara serta dikekalkan sebagai antara wadah keharmonian negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.