
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati alasan dikemukakan Muhyiddin tidak mewajarkan mahkamah melepaskan pasport antarabangsa berkenaan, lapor Berita Harian.
“Pemohon masih boleh bercuti atau meraikan apa-apa keraian cuma bukanlah di luar negara,” katanya.
Muhyiddin memohon mahkamah mengembalikan pasport selama lapan hari bermula 4 hingga 14 Okt depan bagi membolehkan beliau dan isteri melakukan perjalanan singkat ke Uzbekistan sebagai bentuk rehat dari pelbagai cabaran dihadapinya.
Dalam prosiding itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin berhujah tiada risiko anak guamnya untuk melarikan diri kerana ahli keluarganya berada di Malaysia.
“Beliau tidak pernah gagal hadir ke mahkamah jika kehadirannya diperlukan dan telah beri kerjasama terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia sepanjang siasatan,” katanya.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat kerana alasan diberi Muhyiddin adalah remeh dan tidak munasabah.
“Alasan digunakan pemohon adalah untuk bercuti kerana tertekan dengan pertuduhan mahkamah, selain itu pemohon juga menunjukkan bahawa beliau sangat penat dan perlu bercuti di luar negara bersama keluarga.
“Ini adalah satu alasan yang remeh, percutian dan sambutan ulang tahun boleh dibuat di Malaysia,” katanya.
Mahkamah sebelum ini beberapa kali membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsanya atas pelbagai alasan termasuk mendapatkan rawatan perubatan, menghadiri program di luar negara dan majlis graduasi cucunya di London.
Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.