
Perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibuat secara ex parte tanpa kehadiran Firdaus, dibuat bagi melindungi status quo antara pihak berkaitan dalam saman yang sedang berjalan, kata peguam kumpulan ibu bapa itu, M Visvanathan.
Katanya kepada FMT, perintah tersebut dikeluarkan Hakim Amarjeet Singh pagi tadi.
“Plaintif akan menyampaikan salinan perintah itu kepada Firdaus.
“Mahkamah menetapkan 17 Okt bagi pendengaran inter parte,” katanya sambil menambah Firdaus berpeluang mencabar injuksi terbabit apabila perkara itu dibangkitkan dalam pendengaran.
Pada Jun, Firdaus memuat naik video dirinya yang didakwa memberi arahan kepada seorang lelaki berkait cara menangani permintaan remaja yang berhasrat memeluk Islam secara rahsia.
Dalam bulan sama, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, berkata video itu juga mengandungi nasihat bagaimana kanak-kanak boleh melindungi penukaran agama daripada pengetahuan ibu bapa dan bersembahyang dalam rahsia.
Mereka berkata, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Firdaus selepas video berkenaan berlegar di media sosial, termasuk satu laporan dibuat anak guamnya, Arun Dorasamy.
Dalam kenyataan bersama, dimaklumkan juga polis telah membuka kertas siasatan ke atas Firdaus di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.