Kenyataan Nur Jazlan usaha Umno rosak perpaduan PH, kata pemimpin DAP

Kenyataan Nur Jazlan usaha Umno rosak perpaduan PH, kata pemimpin DAP

Lee Chin Chen menggesa ahli MKT Umno itu ikhlas dalam kerjasama dengan parti komponen PH.

Ahli CEC DAP Lee Chin Chen berkata Nur Jazlan Mohamed meremehkan kekuatan hubungan antara tiga parti PH.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP menyelar Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed berhubung kenyataan PKR dan Amanah tidak layak bekerjasama dengan parti itu.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Lee Chin Chen, mendakwa kenyataan itu adalah usaha dalaman Umno merosakkan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dengan menimbulkan perpecahan dalam kalangan parti komponennya.

“Nur Jazlan meremehkan kekuatan hubungan antara tiga parti PH,” katanya dalam kenyataan.

“Kami pernah berjuang bersama-sama pada waktu paling sukar, menghadapi cabaran dan dugaan seumpama berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Lee berkata, kepercayaan yang terjalin itu tidak akan mudah digoyahkan oleh hasutan dari luar.

Terdahulu, Nur Jazlan dilaporkan berkata PKR dan Amanah bukan parti penting atau layak duduk semeja dalam permainan ‘poker politik’ pada peringkat persekutuan mahupun Johor.

Kenyataan itu menyusul desakan segelintir anggota PH supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan di Johor selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Mahkota Sabtu lalu.

Sementara itu, Lee berkata walaupun terdapat perbezaan pandangan antara DAP, PKR dan Amanah dalam beberapa isu, ia tidak pernah menggugat asas kerjasama parti terbabit.

Beliau memetik kejayaan besar pada PRK Pulai tahun lalu, apabila kerjasama erat antara PH dan BN membawa kemenangan yang signifikan, membuktikan kerjasama antara parti adalah kunci kejayaan.

Sehubungan itu, Lee menggesa Nur Jazlan ikhlas dalam kerjasama dengan parti komponen PH demi kestabilan kerajaan perpaduan.

“Hanya dengan perpaduan dan sokongan bersama, kestabilan kerajaan serta kepentingan jangka panjang negara dapat dijamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.