
Ahli Parlimen Machang itu berkata kerana perlu meluluskan peruntukan yang dipegang oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Jangan politikkan masalah air. Lagi lambat selesai, lagi tinggi kos selenggara yang kerajaan persekutuan kena tanggung buat semua negeri-negeri. Boleh mula ‘test water’ di Machang,” katanya di Facebook.
Wan Fayhsal berkata beliau menghantar wakilbertemu dengan Pengerusi SPAN Charles Santiago bagi membincangkan isu itu dan dimaklumkan ada peruntukan untuk membaiki, naik taraf dan selesaikan masalah NRW di Kelantan dan negeri diperintah PN.
Bagaimanapun, katanya, SPAN tidak boleh turunkan peruntukan itu melainkan mendapat kelulusan kerajaan persekutuan.
Katanya, sebelum digantung selama enam bulan di Dewan Rakyat, beliau bertanyakan komitmen kerajaan persekutuan untuk mengatasi isu NRW dan janji peruntukan tambahan RM500 juta untuk negeri kelantan.
Menurutnya, beliau hanya menerima jawapan ‘standard’ daripada kementerian berkaitan, melibatkan birokrasi antara kerajaan persekutuan dan negeri – rundingan belum muktamad; nak beri geran atau pinjaman.
“Sebagai ahli politik saya faham apa maksud jawapan ‘standard”’dan ianya tidak lari daripada makna politik itu sendiri: Siapa yang dapat (bantuan) dalam bentuk apa, bagaimana dan bila,” katanya.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan. Dalam belanjawan sebelum ini, RM1.1 bilion diperuntukan untuk menyelesaikan isu air negara.
Wan Fayhsal berkata beliau juga menulis surat kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof yang menyelia SPAN dan memaklumkan kerjasama kawasan parlimennya dengan sebuah syarikat teknologi India bagi menangani isu NRW.
Katanya, teknologi yang digunakan oleh syarikat itu membantu mengesan kebocoran dan paip pecah yang dipantau secara masa sebenar. Ia juga menggunakan teknologi bagi membaiki paip air yang pecah tanpa menyebabkan gangguan bekalan.
Dalam satu surat bertarikh 14 Julai, Wan Fayhsal memohon satu pertemuan dengan menteri itu bagi membincangkan bagaimana projek rintis menggunakan teknologi itu boleh digunakan di seluruh negara.