
Goh Poh Liang, 38, yang juga tertuduh kedua membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin, manakala rakannya, Li Ao Chen, 30, iaitu tertuduh pertama mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, kedua-dua mereka didakwa melakukan khianat dengan api terhadap tiga rumah mangsa berusia 41, 55 dan 52 tahun.
Ketiga-tiga kejadian itu berlaku di tiga lokasi berasingan iaitu Taman Tangkak Jaya 4, Taman Tangkak Jaya dan Taman Tiara 2, Tangkak antara jam 6 hingga jam 6.18 pagi, 14 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ariff Marzuki manakala Goh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala penjara empat tahun enam bulan dan denda RM3,000 bagi pertuduhan ketiga.
Dia diarahkan menjalani hukuman itu serentak dari tarikh tangkapan pada 14 lalu selain diperintahkan menjalani hukuman penjara tambahan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes terhadap Li yang diwakili peguam Lau Yi Leong dengan membenarkan ikat jamin RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar ikat jamin dikenakan terhadapnya dan dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk menjalani tahanan sementara.