Terengganu sedia hadapi banjir, kata MB

Terengganu sedia hadapi banjir, kata MB

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihak berkuasa sudah bermesyuarat dan menerima taklimat daripada MetMalaysia dan JPS baru-baru ini.

samsuri mokhtar
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihak berkuasa negeri sudah bersedia menghadapi banjir yang dijangka akibat Monsun Timur Laut tidak lama lagi. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan negeri Terengganu bersedia berdepan bencana banjir yang dijangka melanda negeri itu susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal tiba tidak lama lagi.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak berkuasa negeri bermesyuarat baru-baru ini sebagai persediaan menghadapi banjir.

Katanya, pihaknya juga mendapat taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam mesyuarat itu.

“Ia termasuk bila MTL dijangka tiba dan kemungkinan yang boleh berlaku. InsyaAllah kita bersedia. Setiap tahun kita berdepan perkara sama,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Berkuasa Tempatan Terengganu Penggal 2024-2026 hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri Hanafiah Mat dilaporkan berkata, sebanyak RM4.2 juta diperuntuk bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula bulan depan, termasuk RM2.2 juta peruntukan disalurkan oleh kerajaan pusat untuk membeli pelbagai barangan keperluan dan makanan mangsa banjir.

Setakat ini, Kedah adalah satu-satunya negeri yang masih dilanda banjir dengan seramai 633 orang mangsa daripada 212 keluarga mangsa masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.