Lahad Datu: Mahkamah Persekutuan tolak semakan hukuman mati terhadap 7 warga Filipina

Lahad Datu: Mahkamah Persekutuan tolak semakan hukuman mati terhadap 7 warga Filipina

Tiga panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan untuk digantikan kepada hukuman pemenjaraan.

Tujuh warga Filipina dijatuhi hukuman mati kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menceroboh Lahad Datu, 11 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan tujuh warga Filipina terhadap hukuman mati dikenakan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim bersidang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak permohonan mereka hari ini.

Permohonan itu dikemukakan Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 60, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu dan enam individu lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.

Mereka memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap semua lelaki itu dan dua lagi – Ismail Yasin dan Salib Akhmad Emali selepas didapati bersalah melakukan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, Ismail dan Salib Akhmad tidak memohon semakan hukuman mati.

Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan menunjukkan semua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.

Bagaimanapun, pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati.

Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Jan 2018.

Dalam insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Feb dan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan terbabit termasuk di Semporna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.