
Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi,l berkata jawatankuasa itu turut menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH.
“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MAINJ juga akan menggunakan kekuatan enakmen sedia ada dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi meneliti, mengkaji serta membuat sebarang ketetapan berkaitan status GISBH.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata 30 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan menerusi Op Global di Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing dengan kerjasama polis, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 20 dan 21 Sept lalu.
Katanya, semua mangsa ditempatkan bawah jagaan JKM bagi tempoh sebulan dan MAINJ turut menyalurkan peruntukan RM20,000 kepada JKM untuk keperluan pakaian dan buku pelajaran mereka.
Onn Hafiz berkata, operasi melibatkan pemeriksaan lapan premis milik GISBH itu turut membawa kepada penahanan 29 individu dan penemuan lebih 20 buku serta risalah mencurigakan berkaitan Aurad Muhammadiah.
“Daripada jumlah yang ditahan, lapan daripadanya telah ditangkap semula kerana disyaki memiliki buku berkaitan Aurad Muhammadiah,” katanya.
“Memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram merupakan satu kesalahan bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 9, Mengingkari Pihak Berkuasa dan Seksyen 13, penerbitan bersalahan dengan hukum syarak.”