
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, penubuhan pusat pendidikan seperti sekolah berasrama penuh, sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu kembali kepada objektif utamanya.
Katanya, tujuan utama termasuk membantu golongan berpendapatan rendah dan luar bandar memperbaiki kehidupan menerusi pendidikan.
“Ramai anak-anak (miskin) berpotensi dan cemerlang tidak berpeluang memasuki ke sekolah baik itu…sepatutnya beri tumpuan kerana mereka mudah tercicir jika diabaikan.

“Golongan kaya atau ibu bapa berpendapatan sangat tinggi boleh ‘survive’ dan kemampuan mereka jauh lebih baik,” katanya kepada FMT.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa subsidi kepada anak-anak daripada keluarga golongan paling kaya di sekolah terbaik dibiayai kerajaan dihentikan, bagi memastikan bantuan diagihkan kepada kumpulan memerlukan.
Penganalisis ekonomi Aimi Zulhazmi Rashid dari Universiti Kuala Lumpur Business School pula berpendapat, kerajaan perlu menilai semula kriteria pemberian bantuan pendidikan kepada pelajar bagi mengelakkan pembaziran peruntukan.

Katanya, kerajaan perlu menggunakan sistem pangkalan data utama (Padu) yang mampu mengenal pasti pendapatan bersih isi rumah secara jelas, bagi memastikan tiada berlaku kelompangan jika inisiatif itu dilaksanakan.
“Tidak boleh lagi menggunakan data semasa dengan klasifikasi am seperti B40, M40 dan T20,” katanya.
Menurutnya, penjimatan daripadanya boleh disalurkan bukan hanya untuk aspek pendidikan luar bandar tetapi memperbaiki kemudahan asas.
“Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar ini tidak boleh dibiarkan melebar,” katanya.