Reka cerita jadi perempuan simpanan along, wanita ditemukan selamat

Reka cerita jadi perempuan simpanan along, wanita ditemukan selamat

Wanita itu berjaya dikesan di sebuah rumah di Seberang Perai Utara, menurut Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata wanita itu mereka cerita kejadian berkenaan sekadar untuk meluahkan perasaan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Wanita yang mendakwa dijadikan perempuan simpanan oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘along’ di Pulau Pinang, menerusi satu sesi audio siar di laman sosial TikTok ditemukan selamat oleh polis semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya mengesan kedudukan wanita terbabit kira-kira 10.50 malam sebelum menjumpainya di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.

“Hasil soal siasat mendapati wanita itu telah menghubungi program wawancara (sesi audio siar) itu pada 26 Julai lepas.

“Kejadian dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh along di ‘rumah merah’ adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku. Wanita itu telah mereka cerita kejadian terbabit sekadar untuk meluahkan perasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu turut mengaku membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjam wang dan menerima ugutan daripada syarikat terbabit kerana gagal membayar hutang, malah ibunya yang berada di kampung turut menerima ugutan.

Kes, katanya disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hamzah berkata satu laporan polis telah dibuat kira-kira 3 petang semalam berkaitan video berdurasi 18 minit 31 saat yang dimuat naik oleh pemilik satu akaun TikTok.

“Rakaman video itu memaparkan wawancara dalam talian menemu bual mangsa iaitu seorang wanita berumur 26 tahun.

“Mangsa mendedahkan bapanya berhutang RM20,000 dengan along dan kegagalan membayar hutang menyebabkan mangsa dipaksa bekerja tanpa gaji dengan along sebagai perempuan simpanan di Pulau Pinang sejak Februari tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.