‘Hanya pandangan orang kecewa’, pemimpin Bersatu tolak pelawaan sertai PKR

‘Hanya pandangan orang kecewa’, pemimpin Bersatu tolak pelawaan sertai PKR

Ahad lalu, bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu Faiz Na’aman mempelawa ahli pengasas dan akar umbi parti itu menyertai PKR susulan kekalahan pada PRK Mahkota.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Rafiq Abdullah berkata pandangan Faiz Na’aman tidak relevan dan tidak wajar dipertimbangkan.
PETALING JAYA:
Pemimpin Bersatu menolak pelawaan bekas ahli majlis pimpinan tertingginya, Faiz Na’aman supaya ahli pengasas dan akar umbi parti itu menyertai PKR susulan kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pandangan Faiz tidak relevan memandangkan dia dilihat hanya sekadar individu yang kecewa setelah gagal dalam politik.

“Dia diberi peluang untuk bertanding tetapi tidak berjaya dan akhirnya kecewa jadi ini pandangan orang yang kecewa, jadi seruan dia itu tak masuk akal, sebabnya memang Perikatan Nasional adalah wadah terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan Faiz Na’aman yang kini ahli biasa PKR membuat pelawaan tersebut selepas kekalahan besar calon Bersatu berturut-turut dalam PRK Mahkota dan PRK Nenggiri.

Menurutnya, kekalahan itu isyarat jelas penolakan yang semakin meningkat terhadap parti itu dalam masyarakat Melayu.

Dakwanya, sejak bersama PAS, Bersatu semakin terpinggir malah tersasar daripada matlamat asalnya untuk menggalakkan masyarakat lebih sederhana dan sebaliknya mengamalkan retorik ekstrem.

Kenyataannya itu mengulas satu lagi kekalahan PN di mana Syed Hussien Syed Abdullah dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon dari Bersatu, Haizan Jaafar dengan majoriti besar 20,648 undi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Mohd Rafiq Abdullah berkata pelawaan Faiz Na’aman itu tidak wajar dipertimbangkan.

Katanya, Faiz sepatutnya melihat dirinya terlebih dahulu yang menikmati pelbagai imbuhan dan peluang dalam politik diberikan oleh Bersatu.

“Dia dapat macam-macam imbuhan semasa dalam Bersatu. Jadi, sebelum beri pandangan, rujuk dulu segala kenyataan dia sebelum keluar parti dan menyertai PKR.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.