Banjir, tanah runtuh Nepal: Semua rakyat Malaysia selamat dipindah

Banjir, tanah runtuh Nepal: Semua rakyat Malaysia selamat dipindah

Semua pelancong Malaysia yang terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Nepal selamat dipindahkan ke Kathmandu, menurut Kementerian Luar.

Kejadian hujan lebat luar biasa yang melanda beberapa daerah di Nepal termasuk Kathmandu sejak 26 Sept lepas diramal akan berterusan hingga 4 Okt. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengesahkan bahawa semua pelancong Malaysia yang terjejas akibat tanah runtuh dan banjir di Nepal selamat dipindahkan ke Kathmandu.

Menurutnya, pihaknya memantau rapat kejadian hujan lebat luar biasa yang melanda beberapa daerah di Nepal termasuk Kathmandu, sejak 26 Sept lepas.

“Memandangkan semua akses ke luar Lembah Kathmandu musnah berikutan tanah runtuh dan banjir, rakyat Malaysia yang berhasrat membuat perjalanan ke Kathmandu dinasihatkan menangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih,” menurut kementerian dalam kenyataan.

Kementerian itu juga menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu digesa berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my dengan kadar segera.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu beralamat Bakhundole-3, Lalitpur, Kathmandu, Nepal, Telefon: +977-15445689 | +977-9801008000 (untuk kecemasan) dan e-mel: [email protected].

Kementerian itu turut memaklumkan, Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal meramalkan hujan akan berterusan hingga 4 Okt.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional Nepal mengumumkan, hujan kali ini mencatatkan bacaan tertinggi pernah direkodkan di Nepal.

Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 200 nyawa manakala 26 lagi masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.