
Beliau yang juga menteri kewangan berkata kerajaan mahu bersikap adil dalam mengagihkan bantuan dengan mengutamakan kumpulan memerlukan seperti golongan rentan.
“Bagaimana harus kita lakukan? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan.
“Ini saya hanya berikan hebahan awal sebelum umum belanjawan (2025) bulan depan,” katanya berucap melancarkan Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan.
Turut hadir, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Menurut Anwar, berkata wujud keadaan tidak adil kini apabila ada anak penjawat awam kanan, pimpinan politik dan pengusaha terkenal dihantar ke sekolah terbaik dibiayai kerajaan.
Menurutnya, keadaan itu tidak menggambarkan peratusan anak miskin ke pusat pendidikan terbaik dibantu kerajaan seperti sekolah menengah sains dan maktab rendah sains mara.
“Sepatutnya kalau anak orang kaya itu dihantar ke fakulti kejuruteraan, Melayu atau Cina atau Iban, dia bayarlah.
“Dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan (untuk golongan memerlukan),” katanya.
Anwar berkata sindrom kebergantungan berterusan dalam kalangan golongan rentan terhadap bantuan kerajaan juga perlu ditangani sebaik mungkin dan tidak wajar dibiarkan berterusan.
Jelasnya, kebergantungan berterusan bukan penyelesaian mutlak khususnya dalam memerdekakan ekonomi mereka daripada kelompok miskin tegar.