
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, peratusan keluar mengundi yang suram itu menunjukkan perasaan tidak puas hati, tetapi tidak sampai ke tahap ‘boikot besar-besaran’.
“Pengundi ini mungkin rasa terpinggir dengan kerjasama PH dengan parti yang mereka kaitkan dengan isu tadbir urus sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azman berkata pengundi Cina dan India secara sejarahnya kurang cenderung untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di mana keputusannya sudah boleh dijangka.
“Mereka (pengundi) mungkin tinggal di bandar-bandar besar dan tidak melihat keperluan untuk pulang ke kampung halaman untuk mengundi,” katanya, yang melihat PRK Mahkota sebagai ‘tidak penting’ pada skala nasional.
Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, dipilih sebagai Adun Mahkota yang baharu semalam selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Haizan Jaafar, dengan majoriti besar 20,648 undi.
Beliau memperoleh 27,995 undi, hampir menyamai jumlah 28,056 undi yang diperolehi oleh PH dan BN jika digabungkan pada 2022, ketika kedua-dua parti itu masih merupakan seteru.
Bagaimanapun, sumber DAP mendedahkan jumlah keluar mengundi kekal rendah dalam kalangan pengundi Cina (32%) dan India (34%), manakala kadar tertinggi adalah pengundi Melayu (63%).
James Chin, seorang profesor Kajian Asia di Universiti Tasmania, berkata peratusan pengundi Cina yang rendah mungkin merupakan reaksi terhadap pemimpin Umno, Dr Akmal Saleh, khususnya kenyataannya terhadap Teresa Kok dari DAP berkait pertikaian mengenai sijil halal.
“Walaupun pengundi Cina masih mengundi untuk BN, ramai yang mungkin tidak keluar mengundi kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan kontroversi Akmal dan ketidakupayaan Umno mengawal beliau,” katanya.
Chin turut memberi peringatan supaya tidak menggunakan keputusan PRK Mahkota sebagai petunjuk untuk pilihan raya pada masa depan, kerana rakyat Malaysia cenderung melupakan kontroversi politik.
Jika Akmal mengelakkan daripada membuat kenyataan kontroversi, isu itu akan reda, katanya. Bagaimanapun, peratusan pengundi Cina mungkin lebih rendah pada masa hadapan jika Akmal terus membuat kenyataan yang menimbulkan perbalahan.
Senada dengan Chin, profesor komunikasi politik Syed Arabi Idid berkata keputusan pilihan raya kecil biasanya tidak menggambarkan sentimen nasional. “Pilihan raya umum seterusnya masih jauh dan isu nasional baharu akan muncul dalam tempoh itu,” katanya.
Penggal semasa Dewan Rakyat tamat pada Nov 2027 dan pilihan raya umum mesti diadakan selewat-lewatnya pada Feb 2028, jika tidak diadakan lebih awal.