Kementerian Perpaduan Negara anjur Karnival Baca Perdana

Kementerian Perpaduan Negara anjur Karnival Baca Perdana

Karnival bermula 1 hingga 31 Oktober itu menyediakan pelbagai program untuk galak budaya membaca.

Aaron Ago Dagang mengajak semua rakyat Malaysia memeriahkan Karnival Baca Perdana.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara akan menganjurkan Program Karnival Baca Perdana 2024 mulai esok di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Menterinya Aaron Ago Dagang berkata, karnival bertemakan ‘Perpaduan Melalui Pembacaan’ yang berlangsung sepanjang bulan Oktober ini bertujuan membentuk masyarakat berpengetahuan tinggi bertaraf dunia dengan pembudayaan amalan membaca.

“Membaca turut membantu kita untuk berfikir secara kritis. Dalam dunia yang penuh dengan maklumat, kemampuan untuk menilai dan memahami fakta dengan bijaksana adalah kunci untuk mengelakkan salah faham dan konflik.

“Dengan membaca pelbagai sumber, kita dapat membentuk pandangan yang lebih seimbang dan adil,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menyeru seluruh rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya untuk turut serta menjayakan karnival tersebut.

Menurutnya, pelbagai program termasuk Forum Membaca Perdana: Simfoni Perpaduan Melalui Pembacaan, Kempen Kesedaran Derma Buku, Podcast Borak Pustakawan, Bicara Intelektual 2024 serta Bengkel Bahasa Melayu Untuk Ekspatriat akan diadakan.

Selain itu, peserta juga didedahkan dengan aktiviti seperti Eksplorasi Digital@U-Pustaka: Latihan Pangkalan Data Tutor Infiniti, Program Sehari Bersama OKU Penglihatan, Majlis Pelancaran Dokumentari Khas Program Kalam Karyawan 2024, Minggu Literasi Maklumat, Doktor Buku, Pintar Jawi, Bank Buku, Spell-It-Right, Kaligrafi Melayu, Cina dan India serta Fun Book Fair.

Beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia dapat memuat naik tanda pagar #PerpaduanMelaluiPembacaan di media sosial sepanjang karnival berjalan.

“Perpaduan adalah tanggungjawab kita bersama. Melalui pembacaan, kita dapat mencipta dunia yang lebih harmoni, di mana kepelbagaian dihargai dan diperkayakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.