Isteri Daim buat laporan ‘salah guna kuasa’ SPRM susulan artikel Bloomberg

Isteri Daim buat laporan ‘salah guna kuasa’ SPRM susulan artikel Bloomberg

Syarikat media AS itu mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyiasat bekas menteri kewangan itu.

Naimah Khalid bercakap kepada wartawan selepas membuat laporan di IPD Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Naimah Khalid isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membuat laporan polis berhubung artikel Bloomberg mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suaminya.

Sumber dipetik Bloomberg berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu pegawai agensinya arahan menyiasat Daim, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Naimah berkata laporan Bloomberg menunjukkan pertuduhan terhadap Daim dan dirinya ialah konspirasi menyasarkan seteru politik Anwar dengan menumbangkan institusi negara dan badan penguat kuasa.

“Ia rahsia terbuka saya dan Daim dikenakan siasatan bermotif politik dan pertuduhan direka Anwar Ibrahim,” katanya selepas memfailkan laporannya di IPD Petaling Jaya.

“Disebabkan dendam politik tidak berkesudahan terhadap Daim, Anwar tidak teragak-agak menyalahgunakan kuasa jawatannya untuk mencapai matlamatnya.

“Kami mahu keadilan. Kami mahu siasatan jenayah terhadap salah guna kuasa, konspirasi dan perlakuan jenayah oleh Anwar.”

Awal tahun ini, Daim dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas kegagalan mematuhi syarat notis pengisytiharan aset.

Naimah turut dituduh dengan peruntukan sama gagal mengisytiharkan pemilikan pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah dan dua kenderaan.

Pejabat Perdana Menteri dan SPRM menafikan dakwaan dalam laporan Bloomberg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.