
Sehubungan itu, beliau menggesa Perikatan Nasional (PN) melakukan kajian dan penelitian trend pengundi Melayu khususnya kepada Umno, sebagai persediaan berdepan PRU akan datang.
Dominic yang juga timbalan pengerusi PN berkata keputusan PRK Mahkota memberi isyarat PN mungkin bukan sahaja perlu berdepan BN atau Pakatan Harapan (PH) secara individu, malah kerajaan perpaduan’ yang berpotensi untuk terus bergabung.
“Oleh kerana pihak lawan boleh bekerjasama tanpa mengira perbezaan, PN mesti berusaha untuk melakukan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menekankan kerjasama antara Umno dan DAP dalam PRK Mahkota membuktikan kekuatan gabungan kerajaan perpaduan.
Katanya, jika kerjasama ini diteruskan pada PRU mendatang, landskap politik negara dijangka akan berubah ketara.
“Walaupun struktur dan lokasi pengundi di Nenggiri dan Mahkota berbeza, ia boleh dijadikan rujukan untuk memahami corak pengundian di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
“Keputusan PRK Nenggiri sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan pengaliran semula undi Melayu, tetapi jika digabungkan dengan keputusan PRK Mahkota, PN tidak boleh memandang ringan perkara ini.”
Sabtu lalu, BN mempertahankan kerusi Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien yang juga ketua Pemuda Umno Kluang menang majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.
Undi BN kekal tinggi
Mengulas mengenai kemenangan BN, Dominic berkata, walaupun peratusan keluar mengundi rendah, BN tetap berjaya meraih lebih 20,000 undi, memperkukuhkan kedudukan mereka dengan bantuan PH.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan PN supaya segera mempersiapkan diri, menyusun semula pasukan kempen, dan menyesuaikan strategi bagi memastikan sokongan pengundi Melayu.
“Ramai dalam masyarakat bukan Muslim tidak berpuas hati dengan kerajaan perpaduan, namun ini tidak bermakna mereka akan mengundi PN. PN masih perlu berusaha untuk menarik sokongan daripada masyarakat bukan Muslim,” tambahnya.