‘Bodyguard’ didakwa dipaksa makan babi, polis ambil keterangan 4 individu

‘Bodyguard’ didakwa dipaksa makan babi, polis ambil keterangan 4 individu

Antara diambil keterangan termasuk senator berusia 38 tahun dan majikan pengawal peribadi tersebut.

ketua polis penang HAMZAH AHMAD PENANG
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan dan arahan selanjutnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis merakam keterangan empat individu termasuk seorang senator berusia 38 tahun, bagi melengkapkan siasatan kes seorang pengawal peribadi beragama Islam didakwa dipaksa memakan daging babi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, ketua polis Timur Laut dan pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Timur Laut di IPD Timur Laut, George Town, lapor Bernama.

Jumaat lalu, polis membuka kertas siasatan susulan laporan daripada seorang senator bahawa dirinya difitnah konon memaksa pengawal peribadinya memakan daging babi.

Pengawal peribadinya turut membuat laporan polis untuk menafikan tuduhan itu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata polis sedang mengumpul maklumat berhubung beberapa individu dipercayai ahli geng dua lelaki warga Vietnam terlibat kegiatan pecah masuk kilang dan pejabat di Pulau Pinang serta Kedah, yang maut ditembak di Jalan Bukit Panchor Jumaat lalu.

“Beberapa individu itu, yang juga warga Vietnam, dipercayai masih berada di negara ini, dan usaha mengesan mereka giat dijalankan,” katanya.

Jumaat lalu, kedua-dua lelaki Vietnam itu mati akibat tembakan di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menemui dua parang serta pelbagai peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah, kilang dan pejabat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.