
Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata mandat GRS yang menerajui kerajaan negeri masih berbaki kira-kira setahun dan tempoh terbabit akan digunakan sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah serta isu yang menjadi keutamaan rakyat.
“Setakat ini kita belum mula pun buat rundingan pembahagian kerusi, fokus kita selesaikan isu rakyat, gerakan agenda SMJ (Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya).
“Apapun peringkat ini kita yakinkan rakyat untuk pastikan mandat itu dapat kita tunaikan sebaik mungkin.
“Sabah berdepan pelbagai isu legasi, air dan sebagainya. Kita sudah ada usaha, strategi dan pendekatan isu air ini… projek itu telah mula bergerak, bukan hanya perancangan atas kertas sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Gagasan Rakyat merupakan parti komponen GRS bersama Parti Maju Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik, dan Parti Cinta Sabah.