Pembaharuan UNSC soal hidup dan mati, Tok Mat beritahu PBB

Pembaharuan UNSC soal hidup dan mati, Tok Mat beritahu PBB

Menteri luar berkata, Malaysia dan negara lain berulang kali membantah tindakan Israel di Timur Tengah dan menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera, tetapi ditolak melalui veto.

Mohamad Hasan berucap pada Perhimpunan Agung PBB di New York. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Menteri Luar, Mohamad Hasan mengulangi gesaannya untuk mengehadkan kuasa veto anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) serta menegaskan pembaharuan majlis itu soal hidup dan mati disebabkan serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Sabtu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, kuasa veto lima kuasa besar UNSC disalahgunakan untuk membolehkan kekejaman besar-besaran.

“Veto tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya. Perlu ada pengecualian dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan dan serangan ke atas infrastruktur awam. Kita mesti mengehadkan atau menghapuskan veto sepenuhnya,” katanya yang turut menggesa UNGA mengambil tindakan di mana UNSC gagal berbuat demikian.

Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat memiliki kuasa veto ke atas resolusi UNSC. Terdapat 10 lagi ahli lain dalam penggal dua tahun.

Mohamad berkata, PBB di persimpangan kritikal disebabkan kegagalan pemimpin dunia menamatkan pembunuhan rakyat Palestin.

Menurutnya, Malaysia dan negara lain berulang kali membantah tindakan Israel di Timur Tengah dan menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera, tetapi ditolak melalui veto.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid diwujudkan semula dan UNSC menggunakan kuasanya untuk mengenakan sekatan senjata segera ke atas Israel.

“Tindakan Israel, dengan setiap hari yang berlalu, menimbulkan keraguan sama ada ia percaya pada sistem PBB atau menghargai keahliannya dalam organisasi ini,” katanya menurut Bernama.

“Pendudukan haramnya mewujudkan sistem apartheid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin. Rejim Israel sendiri mengisytiharkan niatnya untuk menghapuskan seluruh populasi. Ini adalah, tanpa persoalan, satu genosid.

“PBB tidak boleh berdiam diri. Kita mesti segera menggunakan proses sedia ada yang diasaskan Perhimpunan Agung ini, bersama mekanisme dibangunkan Majlis Hak Asasi Manusia. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa mewujudkan semula Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid.”

Katanya, Israel telah melanggar setiap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Genosid, Konvensyen Geneva dan teras Perjanjian Hak Asasi Manusia.

“Tiba masanya merealisasikan hak Palestin untuk kenegaraan dan keahlian penuh dalam Perhimpunan ini. Dialog dan diplomasi satu-satunya jalan menuju penyelesaian berkekalan – bukan hukuman kolektif, kebuluran buatan manusia atau bebas daripada hukuman.”

Isu Gaza adalah ujian langsung terhadap keupayaan PBB dan beliau menggesa pendudukan Israel ditamatkan serta rejim Zionis mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Julai lalu, ICJ memutuskan pendudukan Israel di wilayah Palestin selama beberapa dekad tidak sah dan perlu dihentikan segera.

Pendapat nasihat itu, walaupun tidak mengikat, menonjolkan kebimbangan semakin meningkat terhadap konflik Israel dengan Hamas dan dasarnya, termasuk pembinaan penempatan dan pengilhakan wilayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.