
Ahli Parlimen Seremban itu yang juga menteri pengangkutan dipilih dalam kalangan 15 jawatankuasa tertinggi yang baharu dipilih pada pemilihan jawatankuasa negeri bersempena konvensyen DAP Negeri Sembilan.
Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2004 mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 571 undi daripada 658 perwakilan yang hadir.
Jawatan timbalan pengerusi kekal disandang oleh Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran.
Gunasekaran memperoleh sebanyak 482 undi.
Jawatan naib pengerusi pula disandang Adun Nilai, J Arul Kumar, serta Adun Bahau, Teo Kok Seong.
Arul peroleh undi kedua tertinggi dalam pemilihan tersebut dengan 533 undi manakala Teo mendapat sebanyak 415 undi.
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, kekal sebagai setiausaha.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Loke berkata kepimpinan baharu pada kali ini bukan sahaja dipilih dalam kalangan ahli berpengalaman malah menampilkan muka baharu bagi memberi peluang kepada mereka sekali gus meremajakan parti.
“Ini mesej yang hendak disampaikan perwakilan, sudah tentu kita akan beri ruang kepada muka baharu untuk memainkan peranan dalam kepimpinan parti dan diberi pendedahan supaya mendapat pengalaman mentadbir parti pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata DAP selepas ini akan tumpu pada tiga fokus utama iaitu mengukuhkan kedudukan parti dalam kerajaan termasuk daripada segi organisasi, selain memastikan barisan calon kuat dan berpengalaman sekali gus mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Selain itu, DAP negeri juga akan menubuhkan wisma baharu yang lebih besar supaya pelbagai aktiviti dan latihan dapat diadakan dengan lebih baik kepada ahli.
“Kita juga akan membantu kebajikan ahli DAP termasuk memberikan bantuan perubatan dan pendidikan untuk anak-anak ahli DAP sebagai tanda prihatin kepada masa depan mereka.
“Inisiatif berkenaan juga sebagai menggalakkan penyertaan generasi kedua atau ketiga ahli DAP sebab ramai yang masuk parti dah lama tapi anak tidak menjadi ahli DAP atau tidak terlibat dalam politik, jadi kita harap mereka ikut jejak langkah ibu bapa,” katanya.