Kemenangan besar di Mahkota bukti BN-PH semakin diterima pengundi, kata Salleh

Kemenangan besar di Mahkota bukti BN-PH semakin diterima pengundi, kata Salleh

Bendahari Umno Sabah berkata kemenangan dalam PRK Mahkota menunjukkan kekuatan Umno di bawah pimpinan Zahid Hamidi semakin pulih dan parti meraih kembali sokongan tradisinya.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak berkata, kemenangan dalam PRK Mahkota menandakan golongan muda dan pengundi keseluruhannya mahukan kestabilan, pembangunan dan kesatuan di bawah BN-PH serta kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Mahkota dengan majoriti besar membuktikan gabungan perpaduan semakin diterima pengundi yang mahukan kestabilan serta kemajuan, kata Salleh Said Keruak.

BN mempertahankan DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar daripada 5,166 undi pada PRN 2022, walaupun peratusan keluar mengundi semalam hanya 53.84% berbanding 57% pada PRN lalu.

Salleh memberitahu FMT, walaupun peratusan keluar mengundi rendah, gabungan perpaduan berjaya meningkatkan majoriti undi diperolehinya, menandakan sokongan semakin kukuh untuk kerajaan Johor pimpinan Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Bekas bendahari Umno itu berkata, ia turut menunjukkan kekuatan Umno di bawah pimpinan Zahid Hamidi semakin pulih dan peningkatan undi Melayu menunjukkan parti berjaya meraih kembali sokongan tradisinya.

Semalam, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah mendapat 27,995 undi berbanding Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang sekadar memperoleh 7,347 undi.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN menewaskan calon PH, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.

Salleh yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia berkata, faktor calon dan pengundi muda memainkan peranan besar dalam kemenangan BN-PH di Mahkota.

“Mereka tertarik dengan calon muda yang membawa harapan dan dinamika baru dalam politik tempatan,” katanya sambil menambah golongan muda dan pengundi keseluruhannya mahukan kestabilan, pembangunan dan kesatuan di bawah BN-PH serta kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.