Kaji selidik kesan AI terhadap tenaga kerja libat 10 sektor strategik

Kaji selidik kesan AI terhadap tenaga kerja libat 10 sektor strategik

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata laporan itu akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim, berkata pihaknya bersedia menggunakan kajian itu bagi menilai kesan AI terhadap penambahbaikan bagi sektor strategik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Laporan kaji selidik mengenai kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pasaran tenaga kerja negara akan melibatkan 10 sektor strategik, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata, antara kandungan laporan telah disiapkan oleh kementeriannya itu ialah evolusi peranan dan kemahiran sebagai panduan untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Kami berharap untuk menerbitkan laporan ini dalam masa terdekat dan bersedia untuk menggunakan kajian ini bagi menilai kesan AI terhadap penambahbaikan sektor-sektor tersebut,” katanya dalam ucapannya di Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Sektor terlibat dalam laporan itu termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan perniagaan global, aeroangkasa, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perdagangan borong dan runcit, elektronik dan kejuruteraan serta pembuatan farmaseutikal.

Laporan itu juga merangkumi peranti perubatan, tenaga, bahan kimia, kuasa, industri marin dan luar pesisir, pelancongan, hotel, dan penginapan.

Pada 6 Sept, Sim melaporkan bahawa kajian mengenai kesan AI, digitalisasi, dan ekonomi hijau terhadap pasaran buruh dan tenaga kerja di negara ini akan dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.

Mengulas mengenai NHCCE 2024, beliau berkata acara itu akan menjadi forum untuk mencambah pandangan, kepakaran, dan strategi yang akan diperhalusi.

NHCCE 2024 dijangka menjadi platform perbincangan terbesar di Asia Tenggara, yang memfokuskan kepada peranan AI di tempat kerja serta implikasinya terhadap masa depan pekerjaan dan tenaga kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.