
Saarani berkata tidak dinafikan wujudnya beberapa ajaran sesat dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang memantau lokasi-lokasi itu sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Terdapat beberapa bukti daripada siasatan dan pemerhatian dijalankan oleh JAIPk di kawasan-kawasan berkenaan yang dipercayai mengandungi unsur-unsur ajaran sesat.
“(Ajaran sesat) berada di bawah Majlis Keselamatan Negara, kita tidak menghebohkan apa yang sedang kita buat… memang kita ada memantau beberapa tempat yang ada unsur-unsur ajaran sesat yang menyimpang daripada ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak di Dewan Tun Abd Razak, Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak.
Saarani berkata bahagian penyelidikan JAIPk membuat kajian dengan menemu duga sebahagian pengamal ajaran itu dan setelah dipastikan ada unsur-unsur ajaran sesat, maka laporan akan dibuat kepada pihak atasan.
Perkara itu kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri, seterusnya kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan satu fatwa akan dikeluarkan berhubung ajaran sesat berkenaan.
Beliau berkata penemuan ajaran sesat itu tidak akan didedah kepada umum kerana dikhuatiri individu-individu berkenaan lari ataupun kadang-kadang berselindung di sebalik kegiatan lain.
“Jadi kalau orang awam nak tahu sama ada apa yang diterima itu betul atau tidak, mereka boleh terus rujuk kepada pegawai tadbir agama atau di peringkat negeri kita ada pengarah jabatan agama Islam, atas lagi dari itu ada mufti,” katanya.
Sementara itu, dalam kes melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) seperti penutupan sekolah yang dimiliki oleh kumpulan itu, ia bergantung kepada arahan setelah mereka dibuktikan bersalah.
“Ya, kalau betul didapati bersalah dan ia menyebabkan mengganggu keselamatan, maka tindakan yang sewajarnya akan dibuat mengikut undang-undang,” katanya.
Pada Ogos lepas media melaporkan Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham, tetapi dalam skala kecil.