
Beliau berkata ketika ini terdapat empat ‘Streets Of Harmony’ yang menempatkan rumah ibadat pelbagai agama dalam satu kawasan secara harmoni.
“Empat ‘Street Of Harmony’ itu ialah di kawasan Masjid Kapitan Keling di George Town, Seberang Jaya dan Bukit Mertajam serta yang terbaharu hari ini dirasmikan di kawasan Bayan Baru dan semua tempat berkenaan menempatkan rumah-rumah ibadat secara harmoni.
“Dalam perancangan adalah di Ampang Jajar, Butterworth yang akan diwujudkan, namun ia satu kawasan pembangunan yang baharu dan masih memerlukan masa untuk rumah-rumah ibadat dibina di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Streets Of Harmony’ Bayan Baru.
Kawasan ‘Streets Of Harmony’ di Bayan Baru terdapat enam rumah ibadat iaitu Tokong Ular, Surau Al-Ubudiah, Kuil Sri Vishwanather Sri Visalatchi, Gereja Charismatic Pulau Pinang, Gurdwara Sahib Bayan Baru, dan Tokong Than Hsiang.
Chow memaklumkan kerajaan negeri sentiasa komited untuk mempromosikan keharmonian dan sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan kepada Penang Harmony Corporation bagi mencapai matlamat berkenaan.
Ia antara usaha kerajaan negeri memupuk nilai harmoni dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Pulau Pinang juga membangunkan eRIBI iaitu pangkalan data rumah ibadat bukan Islam yang diperkenalkan sejak 2022 dan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk menghubungkan kerajaan negeri dengan komuniti rumah ibadat bukan Islam, bagi memastikan sistem pengurusan boleh dilakukan dengan lebih sistematik serta teratur.
Sehingga hari ini, hampir 1,500 rumah ibadat bukan Islam mendaftar di bawah sistem eRIBI dengan kerjasama semua kawasan DUN.