Malaysia komited realisasi inisiatif Grid Kuasa Asean tahun depan, kata TPM

Malaysia komited realisasi inisiatif Grid Kuasa Asean tahun depan, kata TPM

Fadillah Yusof berkata, APG akan mewujudkan komuniti tenaga serantau saling membantu dan dapat memperkukuh semangat Asean.

fadillah
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata Grid Kuasa Asean bukan hanya penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut, tetapi akan menjadikan rantau ini hab tenaga hijau mampu menarik pelaburan antarabangsa.
VIENTIANE:
Malaysia yang akan menjadi tuan rumah Asean pada 2025 komited memastikan inisiatif strategik Grid Kuasa Asean (APG) dapat dimeterai tahun depan bagi manfaat serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata APG bukan sekadar penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut, tetapi akan turut menjadikan rantau ini hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa.

Beliau yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-42 dan mesyuarat berkaitan dari 26-27 Sept di sini, berkata secara dasarnya APG telah dipersetujui semua negara anggota.

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, APG akan mewujudkan komuniti tenaga serantau saling membantu dan dapat memperkukuh semangat Asean, seterusnya meningkatkan daya saing setiap negara anggota dalam menarik pelaburan asing.

“Kita mengharapkan dengan jawatan tuan rumah Asean, kita dapat mengumpul tenaga dan konsensus dalam kalangan negara Asean untuk fokus kepada pembangunan APG,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat AMEM turut menyentuh minat Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia untuk melabur dalam pembangunan tenaga hijau di Asean.

Ketika mesyuarat AMEM + 3 (China, Jepun, Korea) ke-21, Fadillah sebagai naib pengerusi AMEM turut mengucapkan terima kasih kepada tiga negara itu bersetuju menyalurkan kepakaran teknikal kepada Asean bagi memperkasa pembangunan sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan tenaga bersih.

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat dua hala yang dihadiri Fadillah dengan beberapa negara anggota Asean di luar persidangan AMEM ke-42 turut membincangkan potensi Malaysia terlibat dalam pelaburan sektor TBB dan tenaga bersih.

“Ini termasuk potensi meningkatkan bekalan tenaga dari Laos ke Malaysia dan peluang pelaburan bagi pemain industri negara dalam meneroka industri penjanaan tenaga di negara berkenaan.”

Fadillah turut berkongsi hasrat Filipina bekerjasama dalam pembangunan bahan api bio (biofuel) di negara itu.

Perbincangan turut diadakan bersama pihak Vietnam mengenai potensi pelaburan syarikat Malaysia dalam industri tenaga angin di negara itu dan perancangan pembangunan kabel dasar laut bagi pembekalan tenaga dari Vietnam ke Singapura melalui kawasan Malaysia.

Bagi Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) yang memasuki fasa kedua (2024-2026), Fadillah menekankan aspek kerjasama timbal balik dalam LTMS, yang mana negara terlibat boleh saling menyokong ketika menghadapi kekurangan tenaga.

Katanya, fasa pertama LTMS-PIP hanya membabitkan Laos membekalkan tenaga kepada Singapura, manakala wheeling charges (caj penghantaran tenaga) dikenakan Thailand dan Malaysia kerana melalui dua negara terbabit.

“Bagi fasa kedua, apa yang kita bincangkan adalah mempertingkatkan kerjasama ini, malah Malaysia juga mula membekalkan tenaga kepada Singapura.”

Menurutnya, LTMS-PIP membuktikan kebolehan empat negara saling bekerjasama dalam pembangunan tenaga dan usaha merealisasikan APG perlu diperkukuhkan.

Sementara itu, kenyataan bersama menteri AMEM merumuskan AMEM ke-42 detik penting semua anggota berusaha ke arah merealisasikan APG dan membangunkan pelan tindakan tenaga Asean yang boleh menangani cabaran tenaga semakin berkembang di rantau ini dan arah aliran mega global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.