Malaysia gesa PBB bertindak segera tangani krisis Palestin, Myanmar

Malaysia gesa PBB bertindak segera tangani krisis Palestin, Myanmar

Menteri Luar, Mohamad Hasan menyuarakan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap konflik berterusan serta pencabulan hak asasi manusia di Palestin dan Myanmar.

mohamad hasan
Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di luar sesi ke-79 Perhimpunan Agung badan dunia itu di New York. (Gambar Facebook)
NEW YORK:
Menteri Luar, Mohamad Hasan dalam pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menggesa badan dunia itu mengambil tindakan pantas dan tegas bagi menangani krisis di Palestin serta Myanmar.

Mohamad menyuarakan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap konflik berterusan serta pencabulan hak asasi manusia di dua wilayah itu.

Beliau menyeru PBB memperhebatkan usaha memulihkan keamanan dan kestabilan, menekankan keperluan segera untuk menangani krisis kemanusiaan yang menjejaskan jutaan orang awam.

“Saya telah menyuarakan kebimbangan kami dan menggesa PBB mengambil tindakan drastik bagi memastikan keamanan untuk rakyat Palestin dan Myanmar,” Kementerian Luar memetiknya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pertemuan sama, Mohamad turut membincangkan potensi kerjasama Malaysia dan PBB ketika Kuala Lumpur bersiap sedia menjadi pengerusi Asean pada 2025.

Pertemuan itu berlaku di luar sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB (UNGA), di mana pemimpin dunia mengambil bahagian dalam debat umum dari 24 hingga 30 Sept.

Mohamad berada di New York mewakili Malaysia di UNGA, menandakan kehadiran pertamanya sejak dilantik menteri luar pada Disember 2023.

Beliau dijadual menyampaikan kenyataan semasa debat umum peringkat tinggi kira-kira 2 petang Sabtu waktu tempatan (Ahad di Malaysia).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.