Kain rentang provokatif serang Umno cemari PRK Mahkota

Kain rentang provokatif serang Umno cemari PRK Mahkota

Timbalan Pengarah PRK Mahkota BN Ahmad Maslan berkata kehadiran kain rentang yang digantung di celah-celah bendera BN disedari jentera perpaduan awal pagi tadi.

Kain rentang berbaur provokatif yang dipercayai dipasang awal pagi tadi di semua 18 pusat daerah mengundi PRK DUN Mahkota.
KLUANG:
Hari pengundian PRK DUN Mahkota dicemari dengan sekurang-kurangnya 54 kain rentang berbaur provokatif dipercayai dipasang awal pagi tadi di semua 18 pusat daerah mengundi (PDM) PRK DUN Mahkota.

Timbalan Pengarah PRK Mahkota BN, Ahmad Maslan berkata kehadiran kain rentang yang digantung di celah-celah bendera BN disedari jentera perpaduan awal pagi tadi.

“Malam tadi tak ada lagi, saya rasa mereka gantung 3, 4 pagi tadi sebab ia dikesan ketika jentera kami bangun pagi tadi.

“Setakat ini, semua kain rentang telah diturunkan dan jentera perpaduan akan buat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali.

Menurut Ahmad, kain rentang itu ditulis dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Mandarin serta ada juga yang ditulis kononnya calon BN Syed Hussien Syed Abdullah akan dilantik sebagai ketua Umno Kluang jika menang PRK Mahkota.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata tindakan provokatif itu jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana tidak menyatakan pihak mana yang mengeluarkan kain rentang berkenaan.

“Kain rentang yang tidak bertanggungjawab, kita amat kesal dengan perkara ini dan kita harap pengundi tidak akan terpengaruh dengan perkara begini.

“Ia menunjukkan mereka ketandusan idea, bankrap isu sehingga melakukan perkara seumpama ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad tidak merujuk mana-mana individu sebaliknya meminta pihak berkuasa segera menyiasat perkara berkenaan.

“Ini kaedah terdesak yang mereka lakukan yang saya kira tak wajar dilakukan sebab di PRK Nenggiri kita tak nampak perkara ini berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.