
Chow Lee Juen, 63, berkata dua anaknya yang berusia 30 dan 36 tahun itu menetap di Johor Bahru dan bekerja di republik terbabit sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Chow, pada mulanya mereka tidak berminat untuk balik mengundi kerana bukan membabitkan PRU atau PRN.
“Namun saya nasihat mereka mengundi dan guna kuasa untuk pilih wakil rakyat baharu.
“Mereka akhirnya bersetuju untuk balik hari ini, boleh juga melawat keluarga sekali,” katanya ditemui FMT di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi meminta pengundi berdaftar Mahkota yang bekerja di Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu.
PRK Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien Syed Abdullah dari Barisan Nasional (BN) dan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK DUN Mahkota, yang terletak di bawah Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah menang kerusi itu ketika PRN Johor pada 2022, dengan majoriti 5,166 undi.

Keterujaan untuk mengundi pada PRK itu turut dirasai lima beradik menetap di Puchong yang berada awal di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Melayu.
Mereka adalah Zahreen Zainal, 48, Mahanun, 39, Mohamad Helmi, 37, Tarmizi, 29, dan Siti Khadijah, 25.
Zahreen berkata walaupun menempuhi perjalanan jauh namun mereka berpuas hati kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Sebanyak 23.39% pengundi keluar mengundi setakat 11 pagi tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.