Hal ehwal komuniti India: Pegawai Anwar nafi dakwaan PMO kurang kakitangan

Hal ehwal komuniti India: Pegawai Anwar nafi dakwaan PMO kurang kakitangan

Pegawai Tugas-tugas Khas Shanmugam Mookan bidas dakwaan 'tidak berasas'.

Shanmugam Mookan
Pegawai kepada Anwar Ibrahim, Shanmugam Mookan, nafi dakwaan PMO tidak beri peluang kepada masyarakat India. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai kepada Anwar Ibrahim nafi dakwaan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kekurangan kakitangan, di sebalik komitmen untuk memperkasa komuniti India.

Pegawai Tugas-tugas Khas Shanmugam Mookan juga menafikan dakwaan PMO tidak memberikan peluang kepada masyarakat India.

“Saya sendiri dilantik secara khusus oleh perdana menteri untuk menjaga hal ehwal komuniti India,” katanya dalam kenyataan.

“Di pejabat saya sendiri, terdapat tiga orang pegawai, dan keseluruhannya, PMO mempunyai jumlah staf yang mencukupi.

“Kebanyakan staf diambil khas untuk menguruskan hal ehwal masyarakat India, merapatkan jurang, dan membantu mereka menangani pelbagai isu yang dihadapi.”

Shanmugam berkata terdapat dakwaan baru-baru ini mengatakan PMO kekurangan kakitangan dan tidak memberikan peluang kepada masyarakat India dalam kerajaan.

Beliau membidas dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Beliau seterusnya menyenaraikan beberapa inisiatif oleh Anwar, antaranya mesyuarat bersama ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan Adun untuk membincangkan isu kritikal yang dihadapi masyarakat India, pada 24 Sept lepas.

“Dalam mesyuarat tersebut, perdana menteri menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap isu keciciran pelajar dan membincangkan cara untuk mengatasinya bersama pemimpin yang hadir.

“Inisiatif TVET menjadi keutamaan beliau dalam usaha meminimumkan kadar keciciran pelajar dalam kalangan komuniti India, dengan memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh kemahiran teknikal yang dapat menjamin masa depan mereka,” katanya.

Menurut Shanmugam, pemimpin lain yang berkongsi pandangan adalah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, Adun Buntong Thulsi Manogaran, dan Senator Saraswathy Kandasamy.

Katanya, perkongsian pandangan untuk mengatasi isu itu menunjukkan bahawa semua pihak beri komitmen untuk mencari penyelesaian yang berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.