Terpedaya tawaran kerja sambilan, warga emas rugi lebih RM290,000

Terpedaya tawaran kerja sambilan, warga emas rugi lebih RM290,000

Mangsa ditawarkan menjual barangan secara dalam talian, dengan komisen 15%, tetapi perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu.

scammers
Mangsa, seorang peniaga wanita berusia 71 tahun, terpedaya dengan tawaran kerja sambilan daripada ‘rakan’ yang hanya dikenali di Facebook, menurut polis.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas rugi RM291,200 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian daripada ‘rakan’ yang dikenali di Facebook.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata, peniaga wanita berusia 71 tahun itu berkomunikasi dengan rakannya yang hanya dikenali di Facebook pada 22 Ogos lepas.

Mangsa dari Kuala Terengganu itu ditawarkan membuat kerja sambilan menjual barangan secara dalam talian, dijanjikan komisen 15%, tetapi perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu.

“Suspek berjanji mangsa akan diberikan semula wang modal dan komisen sebanyak 15% daripada modal yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan,” katanya, lapor Bernama.

“Mangsa yang berminat untuk menambah pendapatan telah membuat 14 kali bayaran menggunakan wang simpanannya ke beberapa akaun di bank berlainan seperti yang diarahkan suspek.”

Bagaimanapun, Azli berkata, mangsa mula curiga apabila suspek mengarahkan dia membuat bayaran lain sedangkan wang komisen yang dijanjikan belum diterima, lalu membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.