
Menjawab laporan sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan kertas siasatan tidak akan dibuka tanpa bukti dan fakta.
“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut tatacara operasi standard berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” katanya dalam kenyataan.
SPRM berkata dakwaan tersebut merupakan tohmahan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadapnya.
Tegasnya, ia “tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka.”
SPRM berharap orang ramai tidak terpedaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba mengaitkannya bagi menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) nafi mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, supaya tidak menyiasat pembelian saham oleh bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
PMO juga menafikan dakwaan bahawa Anwar mengarahkan SPRM untuk menyiasat Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya, dan rakan rapatnya, Daim Zainuddin.
Tegasnya, perdana menteri tidak pernah mengeluarkan arahan atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan SPRM.
Katanya, SPRM beroperasi sebagai badan bebas dan bertindak berdasarkan aduan yang diterima, menurut Bloomberg.