Sarawak tak akan campur tangan operasi Affin Bank

Sarawak tak akan campur tangan operasi Affin Bank

Kerajaan negeri akan serah kepada pihak pengurusan dan lembaga pengarah untuk menjalankan operasi harian bank.

Premier Abang Johari Openg menyaksikan pertukaran dokumen di antara Setiausaha Kewangan Negeri Wan Lizozman Wan Omar (kiri) dan Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzin (kanan) pada majlis menandatangani SPA di antara kerajaan Sarawak dan LTAT. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak tidak akan campur tangan dalam operasi perniagaan Affin Bank walaupun muncul sebagai pemegang saham terbesarnya, kata Premier Abang Johari Openg.

Kerajaan negeri itu melalui anak syarikat milik penuhnya, SG Assetfin Holdings Sdn Bhd, hari ini memuktamadkan perjanjian pembelian saham (SPA) Affin Bank daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd.

Sehubungan itu, kerajaan Sarawak pada masa ini pemegang saham terbesar dalam Affin Bank, meningkatkan kepentingannya kepada 31.25% daripada 4.81%.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan menyerahkan kepada pihak pengurusan dan lembaga pengarah untuk menjalankan operasi harian bank berkenaan.

“Tidak akan ada campur tangan daripada pihak kami. Saya pasti bank ini akan terlibat dalam pembangunan yang kita ada di Sarawak.

“Apa-apa pun, saya akan serahkan kepada pengurusan dan lembaga pengarah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian SPA berkenaan.

Ditanya sama ada Sarawak bercadang untuk menamakan semula bank itu, Abang Johari berkata pihaknya tidak berhasrat untuk berbuat demikian, tetapi mungkin mempertimbangkannya pada masa akan datang.

“Buat masa ini, kita (Sarawak) juga tidak ada wakil dalam lembaga pengarah bank itu. Kita akan membuat pelantikan, tetapi belum membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya pada majlis itu berkata idea untuk membeli saham yang besar dalam Affin Bank bermula daripada pengiktirafan yang mendalam terhadap peranan penting industri perbankan dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat.

Beliau berkata bank adalah enjin yang memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan penting kepada pembangunan perniagaan dan kesejahteraan kewangan.

“Keputusan kami untuk melabur dalam Affin Bank dipacu oleh langkah strategik untuk mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank yang kukuh dan cekap, yang perlu untuk Sarawak ke arah meningkatkan potensi besar ekonominya.

“Dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran meluas Affin, kami akan bekerjasama untuk membuka peluang baharu, mempermudah akses terhadap modal dan menghidupkan semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

“Kita akan bersama-sama membina ekosistem kewangan yang memupuk inovasi, menggalakkan dan mengukuhkan celik kewangan serta membolehkan masyarakat mencapai aspirasi mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.