
Ketua Polis Johor, M Kumar berkata dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 4 (A) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, dua lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih berjalan dan polis komited memastikan setiap laporan disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil bagi menjamin kelancaran proses pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis sempena PRK Mahkota.
Kumar berkata sepanjang PRK Mahkota berlangsung semua 166 permohonan permit ceramah diluluskan dan tiada ditolak.
Mengenai persediaan hari pengundian PRK Mahkota esok, Kumar berkata seramai 1,399 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi yang sering berlaku kesesakan dan berpotensi menjejaskan keselamatan awam.
Katanya, seramai 38 anggota dengan aset seperti lori dan bot juga bersiap sedia bagi berdepan kemungkinan banjir.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
DUN Mahkota memiliki 66,318 pengundi berdaftar.