Perpecahan halang parti Sabah kuasai politik negeri, kata penganalisis

Perpecahan halang parti Sabah kuasai politik negeri, kata penganalisis

Bilcher Bala dari UMS berkata parti berasaskan negeri mendapati sukar untuk membina kestabilan jangka panjang, mewujudkan parti serpihan dan undi berpecah.

anwar hajiji
Kerjasama politik sedia ada antara Gabungan Rakyat Sabah pimpinan Hajiji Noor dan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim hanyalah formula sementara, kata penganalisis politik Bilcher Bala. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perpecahan adalah sebab utama parti politik di Sabah tidak dapat menguasai landskap politik negeri, kata penganalisis.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah percaya Sabah, seperti Sarawak, satu hari nanti akan menyaksikan parti tempatan menguasai politik negeri. Bagaimanapun, pada masa ini, politik di Sabah cenderung lebih dinamik dan akibatnya, menjadi tidak stabil, katanya.

Penganalisis politik itu berkata, ia tidak seperti di Sarawak di mana parti tempatan lebih cenderung untuk memelihara perpaduan di negeri itu manakala ahli politik Sabah kelihatan terlalu fokus untuk menangkis persaingan dalaman.

“Parti tempatan sukar membina kestabilan jangka panjang terutama dalam mengekalkan konsistensi dalam kepimpinan politik.

Bilcher Bala
Bilcher Bala.

“Akibatnya, parti tempatan sering berpecah belah yang hanya memecahbelahkan undi. Ini seterusnya melemahkan keupayaan parti tempatan untuk bersatu dan menguasai Sabah,” katanya kepada FMT.

Bilcher berkata parti-parti yang berpangkalan di Sabah harus berkumpul di bawah satu payung dengan cara yang sama parti Sarawak bersatu di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, kekal berpecah memberi ruang kepada parti berasaskan nasional, yang mempunyai kelebihan dari segi pembiayaan dan tadbir urus.

Beliau percaya kerjasama politik sedia ada antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dan Pakatan Harapan (PH) hanyalah formula sementara.

“Apabila pilihan raya negeri diadakan, landskap politik Sabah akan berubah jika parti tempatan memberi tumpuan kepada sentimen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sentimen ini boleh menghasilkan sokongan padu daripada rakyat kepada parti tempatan,” katanya.

Sabtu lalu, Hajiji dilaporkan berkata Sabah tidak bersedia untuk mencontohi Sarawak dalam menubuhkan kerajaan negeri yang didominasi parti tempatan. Beliau berkata kerjasama dengan parti nasional masih diperlukan untuk PRN akan datang.

Manakala James Chin dari Universiti Tasmania berkata kehadiran Umno Sabah nampaknya menjadi batu penghalang terbesar kepada parti tempatan yang memonopoli politik Sabah. Beliau berkata parti tempatan baharu dengan mudah boleh ditubuhkan untuk menggantikannya.

James Chin
James Chin.

Chin berkata pemimpin Umno Sabah tidak akan kehilangan sokongan dengan tindakan itu.

“Sama ada mereka kekal dalam Umno atau tidak sebenarnya tidak penting, ia adalah persoalan sama ada mereka mahu keluar daripada Umno.

“Politik Sabah masih berpaksikan personaliti. Jika personaliti itu berpindah kepada parti yang berpangkalan di Sabah, maka parti Malaysia Barat tidak akan mempunyai pengaruh lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.