Isu ‘check in lambat, keluar awal’, Motac akan adakan mesyuarat khas

Isu ‘check in lambat, keluar awal’, Motac akan adakan mesyuarat khas

Menterinya Tiong King Sing berkata mesyuarat itu akan mencari penyelesaian yang adil tanpa membebankan pelanggan.

Tiong King Sing
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi jaminan akan mengambil tindakan segera terhadap isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel yang tular, kata Tiong King Sing. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel yang sedang tular di media.

Menterinya, Tiong King Sing, berkata isu itu telah menarik perhatian orang ramai dan pihak berkepentingan.

Beliau menjelaskan bahawa mesyuarat ini bertujuan membincangkan isu tersebut secara menyeluruh dan mencari penyelesaian yang adil tanpa membebankan pelanggan.

“Keutamaan saya adalah memastikan amalan dan polisi hotel selari dengan kepentingan pengguna, sambil menjamin kelangsungan industri perhotelan yang berdaya saing dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang kini mewakili negara di persidangan United Nations World Tourism Organization (UNWTO) turut menyatakan komitmen untuk menghadiri mesyuarat tersebut sebaik pulang ke Malaysia.

Tiong turut memberi jaminan bahawa Motac akan mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani isu tersebut.

“Pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan akan dipertimbangkan bagi memastikan industri perhotelan di Malaysia kekal kompetitif dan mesra pelanggan,” katanya.

Semalam, Motac dilaporkan sedang memantau isu pendaftaran masuk hotel dalam negara dan turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat lanjut mengenai isu berkenaan melalui e-mel di [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.