Belum ada keputusan permohonan Sanusi gugur kes hasutan

Belum ada keputusan permohonan Sanusi gugur kes hasutan

Pendakwaan memohon diberi tempoh kerana representasi yang dikemukakan oleh menteri besar Kedah itu masih dalam pertimbangan peguam negara.

Pihak pendakwaan mengesahkan di mahkamah bahawa Menteri Besar Kedah Sanusi Nor memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan baginda menerima permohonan maaf tersebut. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Okt ini sebagai tarikh sebutan seterusnya bagi kes hasutan melibatkan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh tersebut selepas timbalan pendakwa raya, Abdul Malik Ayob, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan memerlukan tempoh kerana representasi yang dikemukakan oleh Sanusi masih dalam pertimbangan peguam negara.

Terdahulu, peguam Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud, memohon mahkamah menggugurkan salah satu pertuduhan kerana anak guamnya telah memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan baginda menerima permohonan maaf tersebut.

Bagaimanapun, Aslam menolak permohonan itu sementara menunggu keputusan daripada peguam negara.

“Kita akan tunggu keputusan representasi,” kata hakim.

Sementara itu, pihak pendakwaan mengesahkan bahawa Sultan Selangor telah menerima permohonan maaf Sanusi melalui sepucuk surat.

Dalam permohonan maafnya pada Rabu lalu, Sanusi mengakui kenyataan yang dibuatnya dalam satu ceramah di Gombak pada Julai tahun lalu menimbulkan rasa tidak selesa, mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor.

Pemimpin PAS itu juga berkata beliau amat menyesal dan berjanji untuk lebih berhati-hati dengan kenyataannya agar selaras adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-raja Melayu dan institusi raja.

Kenyataan Sanusi itu berkaitan dengan pelantikan menteri besar Selangor.

Tahun lalu, Sanusi berkata bahawa beliau menulis surat kepada Sultan Sharafuddin untuk menjelaskan kenyataannya, dengan mendakwa bahawa kenyataan itu diputarbelitkan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu bagaimanapun didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan berunsur hasutan terhadap istana, dan beliau mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.