Sumbangan RM57.3 bilion pelaburan AWS kepada KDNK dijangka dapat dipercepat

Sumbangan RM57.3 bilion pelaburan AWS kepada KDNK dijangka dapat dipercepat

Anwar Ibrahim berkata anggaran sumbangan pembangunan Amazon Web Services boleh dijangka pada 2032 berbanding 2038.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pelan pelaburan AWS Region selama 15 tahun cerminan komitmen jangka panjang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan yakin sumbangan Amazon Web Services (AWS) Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang dianggarkan RM57.3 bilion boleh dipercepat kepada 2032 daripada 2038.

Ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan pelancaran AWS Malaysia Region, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, AWS menjadi rakan pembangunan yang teguh dalam usaha transformasi digital negara.

Beliau berkata, pelancaran AWS Region dengan pelan pelaburan 15 tahunnya menekankan komitmen jangka masa panjang syarikat itu yang tidak berbelah bahagi.

Projek wilayah AWS Malaysia, bernilai RM29.2 bilion, dijangka menjana lebih 3,500 pekerjaan dan menyumbang RM57.3 bilion kepada KDNK negara, antara 2024 dan 2038.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan keyakinan bahawa sumbangan itu dapat direalisasikan lebih awal.

Beliau seterusnya menekankan komitmen kerajaan terhadap transformasi digital dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kecerdasan buatan (AI).

“Berdasarkan pertumbuhan pesat pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital, kedudukan AWS yang diperluas melalui pelancaran AWS wilayah infrastruktur di Malaysia memberikan isyarat jelas kepada perniagaan di seluruh dunia bahawa
Malaysia semakin pantas menjadi destinasi serantau utama untuk pelaburan digital.

“Dasar kami untuk menarik pelaburan digital adalah jelas, dengan inisiatif seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam pendigitalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.