SPRM akan lawat ‘banyak tempat’ dalam siasatan 1BestariNet

SPRM akan lawat ‘banyak tempat’ dalam siasatan 1BestariNet

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan akan ambil masa kerana kes melibatkan 8,000 sekolah.

azam baki
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata antara perkara yang sedang disiasat SPRM ialah berhubung mutu perkhidmatan yang diberikan kepada sekolah dan data pembekalan. (Gambar Bernama)
HULU LANGAT:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melawat beberapa lokasi dalam siasatan berhubung projek 1BestariNet.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan akan mengambil masa kerana kes itu melibatkan 8,000 sekolah.

“Banyak tempat perlu kita lawati,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 di Bangi.

Azam menambah antara perkara yang sedang disiasat ialah berhubung mutu perkhidmatan yang diberikan kepada sekolah, dan data pembekalan kepada sekolah.

“Bawah undang-undang rasuah sekiranya dituntut tetapi tidak dibekalkan merupakan, secara prinsipnya, satu kesalahan,” jelasnya.

Pada awal bulan ini, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011.

Menurut sumber, siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion.

Fokus siasatan SPRM juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM, tambahnya.

YTL Power International Bhd mempertahankan anak syarikatnya, dan berkata projek yang berakhir pada 30 Jun 2019 itu diperakui Kementerian Pendidikan sebagai siap sepenuhnya pada akhir tempoh kontrak.

Cabang utiliti YTL Corporation Bhd itu menegaskan YTL Communications akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan SPRM dan percaya perkara itu akan diselesaikan sewajarnya.

1BestariNet dimulakan pada 2011 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan.

Projek itu yang bertujuan memberi keterhubungan dan platform pembelajaran untuk guru, pelajar serta ibu bapa, sering dikritik kerana perkhidmatan internet yang buruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.