
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Akma Ngah Hamid berkata anjing itu lazimnya tidak bertuan dan bebas bergerak antara kedua-dua negara tanpa halangan.
Beliau berkata, ada anjing liar dari negara jiran yang mempunyai simptom rabies menyerang anjing peliharaan di Malaysia, terutama di Sarawak sehingga menyebabkan ia dijangkiti penyakit itu.
Menurutnya, Sarawak mencatatkan 74 kematian membabitkan manusia dijangkiti rabies sejak 2017 dan enam kematian direkodkan sepanjang tahun ini.
“Ini berbeza dengan Semenanjung kerana tiada kes seumpama ini direkodkan, lebih-lebih lagi di negeri bersempadanan darat dengan Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Ini disebabkan program vaksinasi anjing yang dilaksanakan,” katanya menurut Harian Metro.
Di Semenanjung, beliau berkata, tiada kes rabies, tetapi di Perlis, ia dalam lingkaran imun, di mana pemvaksinan haiwan seperti anjing ditetapkan dilaksanakan dalam lingkungan 50km hingga 80km dari kawasan sempadan.
Menurutnya, Malaysia sudah diisytiharkan bebas rabies oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) pada 2013, namun wabak ini melanda negara pada 2015 selepas kes positif di kawasan sempadan antaranya Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Justeru, katanya, pemilik haiwan seperti anjing atau kucing digalak mendapatkan vaksinasi bagi haiwan peliharaan mereka, khasnya di kawasan lingkaran imun bagi mengurangkan risiko penularan kepada manusia.