Mangsa bah Kedah tinggal 888

Mangsa bah Kedah tinggal 888

Mereka berada di 11 PPS di Pendang dan Pokok Sena.

Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Setar ditutup secara berperingkat. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Setar ditutup secara berperingkat, sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir Kedah berkurangan kepada 888 setakat 4 petang, berbanding 1,885, pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terdiri daripada 252 keluarga itu masih ditempatkan di 11 PPS di Pendang dan Pokok Sena.

Di Pendang, 857 daripada 240 keluarga berada di 10 PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, SMK Tanah Merah, SMK Tunku Temenggung, SMK Ayer Puteh Dalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Ibrahim, SK Tanah Merah, SK Haji Mohamad Ariff, SK Ayer Puteh, dan Sekolah Model Khas Bukit Jenun.

Di Pokok Sena, 31 daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Tualang.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 4 petang, paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar mencatat 1.53m, melebihi tahap waspada 1.5m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.