Malaysia seru gencatan senjata segera di Lubnan

Malaysia seru gencatan senjata segera di Lubnan

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia amat bimbang dengan konflik di Timur Tengah yang semakin meruncing.

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel di Lubnan yang meragut lebih 600 nyawa dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur dahsyat. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Malaysia menyeru gencatan senjata segera di Lubnan susulan peningkatan jumlah kematian dan kerosakan infrastruktur meluas, dengan memberi amaran konflik berterusan boleh meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia amat bimbang dengan konflik di Timur Tengah yang semakin meruncing dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel di Lubnan yang meragut lebih 600 nyawa dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur dahsyat.

“Malaysia menyeru konflik ini dihentikan serta-merta bagi mengelakkan peningkatan ketegangan di rantau tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai menyokong usaha diplomatik untuk menamatkan konflik ini, Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama 25 Sept lalu oleh Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Qatar, yang menggesa gencatan senjata segera, selaras Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) (2006).

Menurutnya, Malaysia dengan tegas menggariskan keperluan melaksanakan Resolusi UNSC 2735 (2024) untuk menamatkan segera pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan di Gaza.

“Malaysia menegaskan komitmennya untuk mempromosi keamanan, dialog dan kerjasama dalam mencapai keadilan, keselamatan serta keamanan antarabangsa.

“Malaysia terus menyokong semua usaha bagi tujuan mencapai penyelesaian adil dan berkekalan terhadap konflik sedang berlangsung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.