
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata langkah itu bagi memastikan setiap kementerian serta jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan.
Katanya, saranan itu satu daripada inisiatif disasarkan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 14 Mei lepas.
“Semua ketua jabatan hendaklah memandang serius pelaksanaan pusingan kerja di kementerian dan jabatan masing-masing. Ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja pegawai wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.
“Kegagalan melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab. Ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, pusingan kerja elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman serta motivasi.
Beliau berkata, langkah ini juga dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah.
“JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat diharapkan tercapai.”